ALOR SETAR - Sepasang kekasih sanggup duduk berhimpit di dalam sebuah
bilik sempit yang turut memuatkan sebuah motosikal di sebuah rumah
tumpangan di Simpang Kuala, semata-mata mahu mengelak dikesan oleh pihak
berkuasa kerana dipercayai berkhalwat.
Pasangan yang berusia 23 dan 25 tahun itu sanggup datang dari Pendang
dengan menunggang motosikal untuk bermadu kasih sebelum perbuatan mereka
itu dibongkar oleh sepasukan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam
Kedah (JAIK) yang membuat pemeriksaan mengejut di rumah tumpangan
berkenaan pada jam 1 pagi, semalam.
Lelaki itu pada mulanya memberikan alasan menyewa bilik itu bersama
dengan 'tunangnya'. Namun, hasil soal siasat mendapati, mereka berdua
tidak mempunyai sebarang ikatan yang sah dan alasan yang diberikan hanya
untuk mengelakkan diri ditangkap oleh pihak JAIK.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang JAIK,
Syeikh Mohd Roshidi Mahmud, anggota penguatkuasa melakukan serbuan
berdasarkan maklumat yang diberikan sebelum mengetuk pintu sebuah bilik
dan dibuka oleh seorang lelaki berpakaian lengkap.
Seorang wanita turut ditemui di dalam bilik tersebut dan masih berpakaian lengkap serta dalam keadaan ketakutan.
Post a Comment