KANGAR - Nombor plat atau nombor pendaftaran kenderaan RM8 adalah antara yang paling tinggi dibida oleh sebuah syarikat tempatan dengan jumlah bidaan sebanyak RM297,000 selepas diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis, semalam.


Syarikat berkenaan berjaya membida nombor itu dari 26 pembida yang lain cuba mendapatkan nombor pendaftaran RM8 dalam tempoh pembidaan yang diadakan dari 23 Februari hingga 10 Mac yang lalu.


Nilai bidaan kedua tertinggi pula adalah sebanyak RM264,000 bagi nombor pendaftaran RM2 yang dimenangi oleh seorang individu.


Sebaik saja tempoh bidaan tamat, nombor pendaftaran RM diikuti angka 1 atau dua digit berulang, semuanya telah dibida dan dimenangi selain individu, bidaan itu juga turut dibuat oleh syarikat dan organisasi serata Malaysia.


Sepanjang tempoh bidaan selama 16 hari itu, pihak JPJ Perlis menerima 6,272 bidaan daripada individu dan organisasi dan bidaan itu meningkat hampir empat kali ganda berbanding kira-kira 1,700 bidaan yang diperolehi untuk nombor pendaftaran RL sebelum ini.


Daripada 6,272 bidaan yang diterima, hanya 1,507 pembida individu atau syarikat yang berjaya mendapatkan nombor pendaftaran yang mereka inginkan manakala baki 8,491 nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada orang ramai apabila giliran nombor pendaftaran RL sekarang ini tamat pada penghujung April atau awal Mei depan. 

Post a Comment

 
Top