Jangan terkejut, jika dengan hanya bermodalkan RM1,000 sahaja, anda dan pasangan sudah boleh melangsungkan perkahwinan.
Pasti anda tertanya-tanya bagaimana ianya boleh terjadi kan?
Pada 15 Mei depan, bersempena dengan Walimatulurus Mega, pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan beramai-ramai, boleh turut serta dengan hanya menyediakan kos sebanyak RM1,000 sahaja.
image
Peluang ini tidak disia-siakan pasangan dari Johor Bahru ini, memandangkan kosnya sangat murah.
Pekerja kilang di Gelang Patah, Mohd Azwan Mohd Salleh, 31, berkata, pasangannya, Noor Hamizza Shamsuddin, 23 menerima dengan baik hasrat melangsungkan majlis perkahwinan beramai- ramai.
“Saya tahu mengenai program ini melalui rakan yang hantar mesej Whatsapp. Pada mulanya memang tak percaya, namun kawan tersebut aktif dengan Umno memaklumkan tawaran tersebut betul.
“Saya usulkan kepada pasangan, dia ambil masa dua, tiga hari jugalah untuk berfikir sebelum berkata apa salahnya ikut serta,” katanya.
Tambah Azwan, mengikut perancangan awal, mereka akan melangsungkan perkahwinan menjelang hujung tahun ini.
Azwan yang mengenali pasangannya melalui rakan berkata, mereka telah dua tahun berkenalan dan tidak melalui proses pertunangan sebaliknya akan terus berkahwin.
“Kita memang tidak merancang bertunang dan berhasrat terus berkahwin.
“Rasa teruja juga untuk berkahwin beramai-ramai, tentu sekali kerana pakej murah,” katanya.
Walimatul Urus Mega mengenakan bayaran RM1,000 bagi setiap pasangan, terbuka kepada semua warganegara Malaysia, selain membawa 100 tetamu dan menawarkan pakej cabutan bertuah untuk mengerjakan umrah selain pelbagai tawaran lain.
Program yang diselenggarakan Umno Bahagian Pulai bersama Pemuda Umno Bahagian Pulai dan Puteri Umno Bahagian Pulai dengan kerjasama akhbar Sinar Harian dan Majalah Pesona Pengantin serta disokong MotoBina Sdn Bhd, Ayam Penyet Ori, Pulai Spring Resort dan Laman Langat Travel & Tour Sdn Bhd.
Sesiapa yang berminat untuk menyertai pakej perkahwinan menarik ini, peluang masih terbuka dengan menghubungi talian 019-7906796 (Puan Shikin) dan 019-7792024 (Puan Rokiah ) untuk maklumat lanjut serta pendaftaran.

Post a Comment

 
Top