awalPENGACARA Awal Ashaari mendedahkan beberapa barangan peribadinya hilang akibat dicuri ketika terlibat dalam kemalangan jalan raya di Melaka pada 29 Mac lalu.
Awal, 34 , berkata, antara barangan yang hilang termasuklah kasut yang dipakainya ketika itu.
Dia juga tidak menyangka ada pihak tergamak berbuat demikian ketika orang sedang dalam kesusahan dan memerlukan bantuan.
“Saya tahu selalunya apabila berlakunya kemalangan, ada saja orang yang tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan terhadap kejadian yang berlaku terutamanya mencuri barang- barang mangsa.
“Bagi saya itu tidak patut kerana mereka perlu menghulurkan bantuan. Saya juga mengalami nasib yang sama apabila beberapa barangan keperluan penggambaran milik saya diambil.
“Peliknya kasut yang saya pakai pun boleh hilang. Mujurlah dompet saya tidak dicuri,”  katanya kepadamStar Online.
Awal ditemui pada majlis sambutan  tiga dekad majalah Media Hiburan, ’30 Living Legends Media Hiburan’ di Hotel Pullman, di sini pada Selasa.
Dalam kemalangan yang berlaku, kereta yang dinaiki  Awal  dan dipandu rakannya rosak terus akibat terbabas di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) berdekatan Hentian Rawat & Rehat (R&R) Ayer Keroh, Melaka arah Selatan.
Kemalangan itu berlaku ketika Awal yang menumpang kereta rakannya itu dalam perjalanan bagi mengacarakan rancangan Melodi, TV3.
Dalam pada itu, Awal berkata dia masih lagi trauma apabila berada di dalam kereta kerana teringat kejadian yang menimpa.
“Selepas apa yang telah berlaku saya anggap apabila kita memandu, ia diibaratkan seperti kita bergadai nyawa di jalan raya.
“Malang tidak berbau. Sesiapa sahaja boleh terlibat dengan kemalangan. Jadi kita perlu lebih berhati-hati. Saya juga mengambil pendekatan untuk tidak memandu kereta sports sebagai langkah berjaga-jaga,” ujarnya.
Sementara itu, mengenai majlis sambutan tiga dekad media hiburan, seramai 30 artis menerima pengiktirafan  ’30 Living Legends Media Hiburan’ daripada majalah tersebut sebagai tanda penghargaan mencipta fenomena di dalam industri hiburan tempatan.
Antara artis yang menerima pengiktirafan tersebut ialah Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Hattan, Amy Search, Amelina, Faizal Hussein, Ziana Zain, Datin Seri Tiara Jacquelina dan Noraniza Idris.

Post a Comment

 
Top